Adab Anak Terhadap IBU dan Bapa

Keredhaan Allah Terletak Pada Keredhaan Ibubapa.

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1]


Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Walaubagaimanapun hendaklah diperhatikan bahawa apa yang meredhakan ibubapa tidak mengakibatkan kemurkaan Allah. Maksud saya, jangan melakukan sesuatu yang merupakan maksiat kepada Allah dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. 



Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapanya
Memiliki Darjat Yang Istimewa.


Usair bin Jabir berkata:

Biasanya ‘Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada di kalangan mereka ada seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar. Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.

Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Daripada Murod, kemudian daripada Qarn?”

“Ya” jawab orang tersebut.

‘Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?”

Orang itu menjawab: “Ya.”.

Lantas ‘Umar berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”

Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”

Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar.[1]

Demikianlah besarnya darjat seorang anak yang berbuat baik kepada ibunya sehingga jika dia bersumpah, nescaya sumpahnya dibenarkan oleh Allah. Jika dia meminta ampun kepada Allah untuk seseorang, nescaya Allah akan mengampunkan orang tersebut. Sebegitu besar darjatnya sehingga seorang sahabat yang mulia kedudukannya, yakni Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh, tidak melepaskan peluang untuk mencarinya dan memintanya untuk mendoakan keampunan untuk dirinya.

Hadis ini tidak terhad kepada Uwais bin ‘Amar, tetapi merangkumi sesiapa sahaja yang sentiasa beristiqamah berbuat baik kepada ibubapanya. Maka janganlah kita menganggap berbuat baik kepada ibubapa sebagai satu amalan yang lekeh atau rendah martabatnya. Sebaliknya hendaklah diketahui bahawa ia adalah sesuatu yang mampu mengangkat darjat kita ke maqam yang tinggi di sisi Allah dan manusia yang lain.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2542 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan Uwais al-Qarni).





Dikabulkan Doa Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapa.

Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Ketika tiga orang sekawan sedang berjalan, mereka ditimpa hujan lalu mengambil perlindungan dalam sebuah gua di sebuah gunung. Kemudian sebuah batu besar dari gunung tersebut jatuh di mulut gua dan mengurung mereka di dalamnya. Maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain:

“Berfikirlah tentang amal shalih yang pernah kalian lakukan semata-mata kerana Allah, kemudian berdoalah kepada Allah dengan bertawasul melalui amal tersebut, semoga Allah memberi jalan keluar dengannya.”

Maka berkata salah seorang daripada mereka:

“Ya Allah! Sesunguhnya aku mempunyai ibubapa yang sudah sangat lanjut usia,
seorang isteri dan anak-anak kecil yang masih aku pelihara.
Saat aku pulang ke rumah pada waktu petang sambil membawa ternakanku kepada mereka,
aku memerah susu. Aku biasanya memberi minum ibubapaku sebelum anak-anakku.
Suatu hari, tempat aku mengembala amat jauh sehingga aku hanya sempat pulang ketika hari sudah amat lewat petang. Aku dapati ibubapaku sudah tidur.
Aku memerah susu seperti biasa, membawa bekas berisi susu dan berdiri di samping ibubapaku.
Aku tidak suka membangunkan kedua-duanya dan aku pula tidak suka memberi minum anak-anakku sebelum kedua-duanya, sekalipun anak-anakku menangis di kakiku kerana kelaparan. K
eadaanku dan anak-anakku berterusan sehingga fajar menyinsing.

Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu semata-mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut).”

Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.[1]


Demikianlah besarnya nilai amalan berbuat baik kepada ibubapa sehingga ia menjadi satu amalan yang dapat membantu seorang anak ketika dia ditimpa musibah. Selain itu terdapat dua pengajaran tambahan dalam hadis di atas:

Pengajaran Pertama:
Hendaklah kita memberi prioriti kepada ibubapa di atas anak isteri sendiri. Secara lebih luas, kita hendaklah mencurahkan perhatian, kasih sayang dan pemberian yang lebih kepada ibubapa daripada anak isterinya sendiri. Kita hendaklah sedia berkorban untuk ibubapa melebihi pengorbanan terhadap anak isterinya sendiri.

Pengajaran Kedua:
Prioriti tidak sahaja dari sudut berbanding anak isteri sendiri tetapi dari sudut segala tingkah lakunya. Sebagai contoh, Abu Hurairah radhiallahu 'anh pernah melihat dua orang, lalu dia bertanya: “Apakah hubungan dia dengan kamu?” Orang itu menjawab: “(Dia adalah) ayahku.” Lalu Abu Hurairah berpesan: “Janganlah engkau memanggil dia dengan namanya, janganlah berjalan di hadapannya dan janganlah duduk sebelumnya.”[2]

 


[1] Sahih: Sebahagian daripada hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5974 (Kitab al-Adab, Bab termakbulnya doa disebabkan berbuat baik kepada ibubapa). Berdoa dengan amal shalih sepertimana dalam hadis di atas disebut sebagai bertawassul. Bertawassul terbahagi kepada dua, yang dibolehkan dan yang dilarang. Lebih lanjut tentang bertawassul, rujuk buku saya Beberapa Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhidterbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006.
[2] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 32.

Doa Ibubapa Pasti Dikabulkan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:

Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul, tanpa diragui lagi: doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.[1]


Berdasarkan hadis di atas, maka beruntunglah kita jika ibubapa dalam keadaan redha dan mendoakan kebaikan kepada kita. Pada waktu yang sama rugilah kita jika ibubapa dalam keadaan murka sehingga mereka tidak berdoa apa-apa atau mendoakan sesuatu keburukan kepada kita.
Sebelum ini kita sama-sama telah membaca kisah seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau asyik beribadah dalam biara yang didirikan khas sehingga tidak mengendahkan panggilan ibunya. Akhirnya ibu tersebut mendoakan Juraij: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!” Akhirnya Juraij dan peribadatannya terganggu kerana dia difitnah oleh seorang pelacur. Demikian ringkasan sebuah hadis yang panjang, yang di dalamnya terkandung dua pengajaran:
  1. Urusan ibubapa adalah lebih penting daripada urusan beribadah, lebih-lebih lagi jika ibadah yang sedang dilaksanakan hukumnya adalah sunat. Jika ia adalah ibadah wajib, maka hendaklah diperhatikan sama ada ia boleh ditangguh atau diringkaskan ibadah tersebut.
  2. Berhati-hatilah dengan doa daripada ibubapa.

 


[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1905 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan doa kedua ibubapa).


Sumber : http://hafizfirdaus.com/ebook




absen smpn 2 cilengkrang

PLEASE LOGIN
Username
Password
smpn 2 cilengkrang